Wednesday, April 6, 2011

Tompok-Tompok Hitam

Tompok-tompok hitam pada wajah biasanya terjadi akibat pendedahan yang terlalu kerap kepada bahang matahari. Ia akan menjadi semakin parah jika dibiarkan kerana ia boleh meninggalkan parut dan kesan lubang pada wajah.

Menurut perubatan tradisional, terdapat beberapa kaedah dalam usaha mengawalnya dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan semulajadi. Ada 3 kaedah utama iaitu:

Kaedah 1

Carilah tulang cumi-cumi (warna putih keras berkapur) yang banyak terdapat di tepian pantai. Ambil dalam 5 keping dan tubuk sehingga halus. Kemudian tambahkan dengan air perahan asam jawa dalam 5 biji sehingga ia menjadi likat. Sapukan pada kulit yang berparut atau berlubang berkali-kali. Amalkan pada waktu malam sewaktu hendak tidur dan pada waktu pagi sebelum solat atau mandi, basuhlah dengan air yang suam.

Kaedah 2

Buah sengkuang, 5 biji dikupas dan diparut. Hasil parutannya dicampurkan dengan air basuhan beras atau air leri sebanyak 1 cawan. Dengan menggunakan kain yang bersih sebagai penapis, tapis dan perahkan air campuran tadi kedalam sebuah pinggan makan dan dijemur sehingga kering. Bubukan putih yang tinggal pada pinggan adalah pati sengkuang.

Kemudian ambil pula lidi daun enau sebanyak 17 batang dan dibakar untuk mendapatkan abunya. Abu itu seterusnya dicampurkan bersama pati sengkuang tadi dan ditambah sedikit air supaya menjadi pekat. Amalkan memakainya di wajah pada setiap malam sebelum tidur dan dibasuh dengan air suam pada keesokkan paginya menggunakan sehelai tuala kecil yang bersih.

Kaedah 3

Ambil kunyit hidup (Curcuma domestica) yang tidak terlalu tua sebanyak 10 ulas dan dihiris nipis-nipis. Kemudian ia dijemur sehingga betul- betul kering dan disimpan di dalam balang yang tertutup rapat. Untuk penggunaannya, ambil antara 5 hingga ke 7 keping hirisan nipis itu dan masukkan kedalam cawan. Tuangkan air panas ke dalamnya dan amalkan meminumnya secara rutin pada waktu malam sebelum tidur. Dalam masa sebulan anda akan merasakan perubahan pada kulit anda.

HAID

Biasanya haid akan dialami oleh kaum wanita sebagai tanda ia telah matang. Namun begitu, jumlah hari kedatangan haid dan putarannya bebeza-beza mengikut tahap kesihatan, faktor fizikal dan faktor usia serta emosi seseorang itu. Kadang- kadang ia boleh menjadi masalah kepada kaum wanita. Untuk kaum wanita yang mengalami banyak pendarahan, mereka dinasihatkan memakan daun Kemangi (mentah) segenggam pagi dan segenggam petang selama mana haid itu berlangsung untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.

Ada juga kaum wanita yang mengalami masalah kerana putaran haid yang tidak tetap dan masalah senggugut yang mengakibatkan wanita menjadi pemarah atau menjadi pasif. Di sini saya sertakan kaedah tradisional untuk mengatasi masalah tersebut.

Kaedah untuk menetapkan pusingan haid

Rebuskan Ketumbar, Kunyit hidup, Jintan Hitam, Biji Pala, Kapulaga,Cengkih, Gula putih dan Gula Melaka yang mana kesemuanya diambil sebanyak 30 gram beserta daun Sirih (20 gram) dengan air 250 cc atau segelas sehingga mendidih. Sebaiknya direbus dengan kuala tanah. Apabila ia telah menjadi suam, tapiskan air rebusan tersebut dan masukkan ke dalam gelas, untuk diminum setengah gelas pagi dan setengah gelas pada waktu malam. Amalkan 3 kali seminggu, sebaiknya pada hari kedatangan haid kurang 7 ke 10 hari.

Kaedah untuk menghilangkan senggugut


Sepotong gambir (10-15 gram), Kunyit hidup 2 ulas dan 5 lembar Daun sirih, dijadikan satu dan ditumbuk halus. Selepas itu tambahkan dengan secawan air masak dan dikacau rata. Kemudian dengan menggunakan kain yang bersih, tapis dan perah ramuan tersebut. Hasilnya diminum sekali dalam sebulan iaitu 2 atau 3 hari sebelum kedatangan haid. Minumlah ramuan pada waktu malam sebelum tidur.

Kaedah menghentikan haid

Jika haid berlebihan, iaitu melebihi tempoh waktu haid tersebut kaedah ini boleh digunakan untuk menghentikannya. Iaitu dengan menumbuk halus dua mangkuk Daun Beluntas. Kemudian tambahkan dengan air suam 1 gelas dan ditapis. Bubuhlah garam setengah sudu kecil dan minumlah ramuan tersebut pada waktu pagi atau malamnya. Lakukan sekali lagi jika perlu.

AWET MUDA

Memiliki keistimewaan awet muda sekalipun pada usia yang semakin meningkat menjadi idaman setiap golongan masyarakat tidak kira bangsa atau agama. Melalui cara tradisional, terdapat beberapa kaedah yang boleh membantu mengekalkan seri wajah jika diamalkan secara berterusan.

Kaedah 1

Kunyit Hidup dua ulas dan Halia seulas dikupas dan dihiris nipis-nipis. Kemudian tumbukkan halus-halus bahan lain seperti Biji Pelaga secamca teh, pucuk daun betik jantan segenggam, pucuk daun beluntas segenggam, lada putih secamca teh dan ketumbar secamca teh. Kesemua bahan direbus dengan segelas air bersih sehingga mendidih. Apabila telah suam, tapis dan tambahkan dengan air perahan limau nipis sebiji, madu asli 3 sudu besar dan kuning telur ayam kampung 3 biji. Kacau dan amalkanlah 3 kali seminggu dan minum pada waktu malam sewaktu hendak tidur.

Kaedah 2

Makanlah segenggam daun pegaga setiap hari dan amalkanlah selama 40 hari berturut-turut tanpa terputus. Amalkan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Ataupun anda boleh mengamalkan memakan secamca madu asli yang dicampur dengan kunyit muda yang telah ditumbuk halus. Makanlah dua kali sehari.

Kaedah 3

Ambil 10 gram daripada setiap bahagian pada pokok betik jantan iaitu akarnya, kulit batangnya, tangkai daunnya, daun pucuknya, buahnya dan bunganya. Rebus kesemuanya. Apabila air rebusan telah suam, tapiskan dan minumlah pada waktu hendak tidur. Amalkan seminggu dua atau tiga kali. Untuk menghilangkan rasa pahit, kunyahlah asam jawa atau beras selepas meminumnya.

MASALAH VAGINA

Masalah pada vagina boleh membawa kepada keretakkan rumahtangga. Ada beberapa masalah vagina yang diakibatkan oleh faktor makanan seperti belacan, ikan bilis dan kerang yang telah lama. Disini saya sertakan beberapa kaedah untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan vagina.

Kaedah mengatasi keputihan

Masukkan 10 helai daun beluntas , sepotong kunci ( Temu kunci ) , sepotong Temu ( Temulawak ) , sepotong kayu rapat dan seulas kunyit hidup ke dalam sebuah kuali bersama-sama sebotol besar air bersih. Rebus sehingga mendidih dan biarkan airnya menyusut sehingga menjadi satu pertiga air tersebut. Amalkan meminumnya sekali sehari selama 10 hari berturut-turut.

Kaedah mengatasi vagina berair

(1) Cuci dua ulas kunyit hidup dan hiris nipis-nipis. Campurkan bersama isi dari sebiji buah durian belanda dan tambahkan segelas air panas serta dikacau hingga sebati. Amalkan memakan ramuan ini setiap hari selama 10 hari berturut-turut.

(2) Perahkan jus dari 3 biji belimbing buluh bersama segelas air panas. Air perahan itu dicampurkan kepada sebiji buah pinang yang telah digiling halus tanpa kulit. Rebus sehingga mendidih dan setelah suam, gunakan kain yang bersih untuk memerah dan menapis air rebusan tersebut. Campurkan sedikit garam dan amalkan meminumnya sekali dalam seminggu.

Rawatan sesudah bersalin

Fenomena umum yang biasanya dihadapi oleh ibu-ibu yang baru lepas melahirkan ialah kehilangan keindahan bentuk tubuh badan. Oleh itu terdapat bebrapa kedah dalam menjaga beberapa bahagian badan sesudah melahirkan.

Kaedah Mengecilkan Kembali Rahim

(1) Bakar kayu-kayan (yang lebih baik, kayu daripada pokok kayu petai cina) untuk mendapatkan abunya. Ambil abu yang masih panas lebih kurang satu bantal kecil dan letakkan di atas daun pisang. Kemudian balutkan dengan sehelai kain membentuk satu bantal kecil. Duduklah diatasnya sehingga hilang bahang panasnya. Amalkanlah selalu.

(2) Rendam 2 sudu besar beras di dalam air selama 3 jam. Sambil itu rebuskanlah 100 gram Gula melaka, sesudu besar asam jawa, sedikit daun pandan dan sedikit garam bersama-sama dengan 3 gelas air bersih. Beras tadi pula, digiling dengan sebesar 3 jari cekur, sepotong kecil halia dan sepotong kecil kunyit. Sesudah itu, campurkan ia dengan air rebusan tadi dan ditapis dengan menggunakan kain yang bersih. Pastikan tapisannya likat. Kemudian perahkan dengan sebiji limau nipis. Setelah selesai buatkan macam biji-biji kecil sebesar biji asam jawa dan dijemur sehingga kering lalu disimpan di dalam bekas yang tertutup dan kering. Amalkan memakannya dua biji tiap malam ketika hendak tidur dibantu dengan air suam.

Kaedah untuk melangsingkan perut


Adunkan 10 lembar daun sirih bersama-sama dengan sesudu teh kapur sirih dan 2 sudu besar minyak kayu putih. Kacau sehingga sebati. Kemudian tampalkanlah diatas kulit perut dan dibalut dengan kain agar selesa. Amalkanlah pada setiap malam selama mana berpantang.

Kaedah membuat pilis kening.

Tujuan ia dibuat untuk menghilangkan panas badan. Caranya ialah dengan menumbuk sehingga halus 1 sudu besar asam jawa bersama-sama dengan 2 pelepah daun jarak dan 1 cawan daun limau nipis. Tambahkan air ke dalam bahan yang telah ditumbuk sehingga ia menjadi pekat . Amalkanlah dengan menampalkannya pada kening dan dahi, seharian selama berpantang.

MASALAH RAMBUT

Rambut merupakan mahkota bagi setiap wanita. Oleh itu, mereka sering menghabiskan masa dan wang ringgit semata-mata untuk memelihara keindahan dan kesegaran rambut agar sentiasa kelihatan menarik. Di sini saya sertakan satu kaedah untuk menghilangkan kelemumur yang menjadi masalah utama bagi rambut.

Kaedahnya

Ambil 10 helai daun Bunga Raya dan ramaskannya bersama-sama dengan sedikit air sehingga ia mengeluarkan lendir. Kemudian lumurkanlah ke atas kepala anda dan bungkuskan kepala anda. Biarkan selama setengah jam supaya lendir itu sebati dengan kepala anda. Setelah itu barulah dibilas dengan air yang bersih. Amalkanlah selalu.

** Selamat beramal kepada diri sendiri dan kawan-kawan.. Hik hik hik...